ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 16 orang maut, manakala 13 lagi cedera, termasuk dua parah dalam letupan di kilang keluli di barat Turkiye pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi.
Presiden Recep Tayyip Erdogan, bercakap selepas mesyuarat Kabinet di Kompleks Presiden di Ankara, berkata siasatan kehakiman dan pentadbiran sudah dilancarkan bagi mengenal pasti punca letupan di daerah Aliaga, Izmir serta pihak yang bertanggungjawab.
"Siasatan sudah dimulakan dari sudut kehakiman dan pentadbiran. Punca dan keadaan yang membawa kepada kejadian tragis ini, yang amat mendukacitakan negara kita, termasuk sebarang unsur kecuaian serta pihak yang bertanggungjawab, akan dikenal pasti," kata beliau.
Gabenor Izmir Suleyman Elban, berkata letupan berlaku kira-kira 11.46 pagi waktu tempatan di Kilang Besi dan Keluli HABAS ketika kerja penggantian relau sedang dijalankan.









