WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) melancarkan usaha baharu untuk melumpuhkan rangkaian bekalan ketenteraan Iran menerusi penubuhan Pasukan Petugas Iron Gate yang menyasarkan laluan darat dan Laut Caspian.

Langkah itu bertujuan menghalang Teheran memperoleh sistem persenjataan canggih, teknologi dwiguna serta bahan lain, namun keberkesanannya bergantung kepada kerjasama negara serantau.

Penganalisis berpendapat unit kecil yang memberi tumpuan kepada risikan itu tidak mampu mengawal keseluruhan sempadan Iran atau menyekat rangkaian perolehan negara berkenaan tanpa sokongan negara jiran.

Profesor Pengajian Pertahanan di King’s College London, Andreas Krieg berkata, pasukan petugas itu merupakan usaha AS meluaskan sekatan tentera laut kepada rangkaian bekalan darat Iran tanpa perlu mengerahkan tenteranya di sepanjang sempadan negara itu.