Hulu Selangor: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi warga asing diteruskan dengan pencarian oleh Unit Dron Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Dron Bahagian Udara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Ketiga-tiga mangsa hilang selepas dipercayai dihanyutkan kepala air di Sungai Pertak, Kampung Pertak, di sini, Isnin lalu.
Unit Dron dari Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM yang memulakan operasi seawal jam 7 pagi tadi menumpukan pencarian dalam jarak radius lima kilometer (km) dari sebuah jambatan tidak jauh dari persimpangan Kampung Pertak.
Tiga anggota Unit Dron PDRM dari Pangkalan Udara Subang menerbangkan dua dron jenis Matrice 300 RTK dan Autel Evo Max yang mampu terbang dalam tempoh maksimum selama 45 minit manakala Unit Dron JBPM menerbangkan tiga jenis dron.









