PUTRAJAYA - Pelaksanaan tahanan rumah berpotensi menjadi pendekatan alternatif dalam pemulihan banduan di Malaysia kerana membolehkan mereka mengekalkan hubungan kekeluargaan, sekali gus memudahkan proses integrasi semula dalam masyarakat.Pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, hubungan dengan pasangan, anak-anak dan ahli keluarga memainkan peranan penting sebagai sistem sokongan sosial dalam membantu banduan membina semula kehidupan selepas menjalani hukuman.Menurutnya, persekitaran keluarga yang positif juga boleh bertindak sebagai kawalan sosial bagi mengurangkan risiko banduan kembali melakukan jenayah."Apabila banduan dibenarkan menjalani baki hukuman di rumah selepas penilaian risiko, mereka dapat mengekalkan hubungan dengan pasangan, anak-anak dan ahli keluarga."Keluarga boleh bertindak sebagai kawalan sosial yang positif untuk mengurangkan risiko-risiko yang lain dan juga memudahkan integrasi semula dalam komuniti," katanya kepada Sinar Harian.Bagaimanapun, ujar beliau, pelaksanaan pendekatan itu tidak boleh dilakukan secara umum kerana perlu mengambil kira kriteria kelayakan, tahap risiko jenayah dan keselamatan mangsa.Katanya, persekitaran keluarga tidak semestinya selamat untuk semua banduan, khususnya bagi kes membabitkan keganasan rumah tangga, penderaan atau ahli keluarga sendiri menjadi mangsa."Meletakkan banduan kembali ke rumah akan menimbulkan bahaya besar kepada mangsa. Oleh itu, setiap kes mestilah menjalani penilaian keselamatan mangsa terlebih dahulu," jelasnya.Dalam pada itu, Shahul Hamid berkata, Malaysia masih belum mempunyai kerangka perundangan komprehensif yang menetapkan kriteria kelayakan, kaedah pemantauan elektronik serta prosedur tindakan sekiranya syarat tahanan rumah dilanggar.Beliau turut berpandangan, ketiadaan kriteria yang telus boleh menimbulkan persepsi ketidaksamaan dalam sistem keadilan apabila masyarakat menganggap kemudahan itu hanya diberikan kepada golongan berpengaruh.Mengulas pelaksanaan tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau menjelaskan, kes berkenaan merupakan kes individu hasil pengampunan bersyarat dan tidak boleh dijadikan preseden automatik kepada banduan lain.Justeru, beliau mencadangkan supaya Malaysia membangunkan mekanisme tahanan rumah yang berasingan daripada proses pengampunan bersyarat, dengan penilaian risiko serta kriteria kelayakan yang jelas.Menurutnya, tahanan rumah juga perlu disertakan program pemulihan seperti kaunseling, intervensi tingkah laku dan latihan pekerjaan, selain pemantauan berterusan bagi memastikan banduan mematuhi syarat ditetapkan."Tahanan rumah ini akan menjadi pendekatan pemulihan yang berkesan untuk kategori banduan yang berisiko rendah bagi mengekalkan hubungan kekeluargaan dan memudahkan integrasi semula ke masyarakat."Namun, ia tidak boleh dijadikan amalan umum selagi Malaysia belum mempunyai rangka perundangan, penilaian risiko yang kukuh serta jaminan perlindungan mangsa," katanya.