SEREMBAN: Parti Amanah Negara (AMANAH) perlu menjadikan kekalahan dalam beberapa pilihan raya negeri (PRN) sebagai titik kebangkitan untuk memperkukuh parti dan mempersiapkan jentera menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Naib Presidennya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata seluruh kepemimpinan dan jentera parti, khususnya golongan muda dan wanita perlu melakukan muhasabah, memperkukuh organisasi serta merangka strategi lebih berkesan bagi mendekati rakyat.

Beliau berkata, kekalahan pada PRN lalu seharusnya menjadi iktibar dan pemangkin untuk membina kekuatan baharu, bukan melemahkan semangat atau keyakinan terhadap perjuangan parti.

"Mungkin kita kalah dalam beberapa pertempuran, tapi pastikan kita membuat persiapan lebih rapi mendekati rakyat khususnya. 'We have lost the battle, but we want to win the war', dalam peperangan PRU16 nanti akan kita lakukan yang terbaik," katanya selepas merasmikan Konvensyen Wanita Muda Parti Amanah Negara (Warda) Nasional, hari ini.