BANGKOK – Kebakaran besar berlaku di sebuah rumah kedai empat tingkat di pulau peranginan Phuket, Thailand pagi tadi, mengorbankan 11 orang dan mencederakan 16 yang lain, kata polis.

Kebakaran bermula kira-kira pukul 3.30 pagi (4.30 pagi waktu Malaysia) di sebuah bangunan komersial menempatkan restoran dan kediaman sewa, kata seorang pegawai polis dari komuniti Patong di Phuket kepada AFP.

“Anggota bomba mengambil masa dua jam untuk mengawal kebakaran dan mendapati 11 orang terkorban, termasuk warga Thailand dan Myanmar,” katanya.

Punca kebakaran masih dalam siasatan, kata pegawai itu yang enggan identitinya didedahkan kerana dia tidak diberi kuasa untuk bercakap kepada media.