PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan 16,157 Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di 10,259 sekolah di seluruh negara bagi mengesan tanda awal buli dan ancaman keselamatan sebelum masalah itu berkembang menjadi kes jenayah.
Pegawai Perhubungan Sekolah dalam kalangan pegawai dan anggota polis berperanan membuat rondaan secara berkala untuk meneliti perkembangan disiplin serta mengenal pasti bentuk bantuan yang diperlukan khususnya sekolah berisiko dan mempunyai rekod disiplin.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Hisam Nordin berkata, beberapa kejadian sebelum ini menjadi peringatan supaya tanda awal buli dan ancaman keselamatan di sekolah perlu dikesan lebih awal sebelum berkembang menjadi kes jenayah.








