Kuala Lumpur: Kegiatan pertubuhan dikenali sebagai De Norsemen Klub International (DNKI) dipercayai dianggotai komuniti Nigeria di Malaysia mencetuskan persoalan selepas gambar dan video perjumpaan kumpulan itu tular di media sosial.
Perkara itu dibangkitkan seorang pengguna Threads menerusi akaun kopiobserver yang berkongsi beberapa gambar dan rakaman video memaparkan sekumpulan lelaki memakai pakaian hitam dan merah dengan lambang DNKI serta bendera Malaysia.
Antara gambar yang dikongsikan turut memaparkan sekumpulan individu dalam satu majlis dengan kain rentang bertulis 'De Norsemen Club International Malaysia Chapter'.
Pengguna berkenaan mempersoalkan kegiatan dan status pertubuhan itu di Malaysia, selain menandakan akaun Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) bagi mendapatkan penjelasan.










