KUALA LUMPUR: Akses terhad kepada perlindungan insurans e-hailing harian yang ketika ini dikaitkan dengan platform tertentu boleh mewujudkan ketidakseimbangan persaingan dalam industri itu, sekali gus menyukarkan pengendali lain menarik dan mengekalkan rakan pemandu.

Akses tidak seimbang berkenaan memberi kelebihan komersial kepada platform tertentu, khususnya dalam menarik pemandu baharu yang lebih cenderung memilih perkhidmatan menawarkan perlindungan insurans berdasarkan tempoh mereka bekerja.

Ketua Pegawai Eksekutif GV Ride, Kabeer Singh, berkata ketiadaan pilihan perlindungan sama pada platform lain menyukarkan pengendali berkenaan bersaing, memandangkan pemandu kini semakin mengambil kira kos insurans sebelum memilih platform untuk menawarkan perkhidmatan.