Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menyasarkan untuk meraih sebanyak mungkin pingat emas dalam acara sepak takraw lelaki pada Sukan SEA 2027 di Malaysia.
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, kelebihan selaku tuan rumah mampu memberi suntikan kepada barisan Golden Tigers untuk meneruskan rentak kecemerlangan yang dipamerkan kebelakangan ini, termasuk pada Sukan SEA Thailand 2025 dan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun.
"Tahun depan Sukan SEA di dalam negara, sudah pasti satu cabaran yang besar buat kita sebagai tuan rumah, terutamanya untuk mengekalkan kejuaraan.
"Namun kita percaya bermain di laman sendiri dengan penonton yang ramai nanti, akan memberikan nilai tambah yang besar untuk kita cuba mendapatkan sebanyak mungkin pingat emas di Sukan SEA pada tahun depan," katanya selepas majlis pelancaran Sepak Takraw League, di sini malam tadi.










