PETALING JAYA: Selebriti dan duta produk penjagaan diri sebuah jenama dari Indonesia, Alif Satar, tampil menyuarakan pendirian tegasnya bahawa tidak bersetuju dengan hantaran yang dibuat jenama tersebut yang didakwa mencetuskan provokasi antara negara, semalam.

Tegas Alif, walaupun dilantik sebagai duta jenama itu di Malaysia, dia tidak berkompromi dengan sebarang kandungan media sosial yang merendahkan mana-mana pihak.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya percaya bahawa negara dan rakyat kita mestilah dihormati.

“Prinsip saya sangat jelas, saya memang tidak pernah bersetuju dengan sebarang kandungan yang merendahkan mana-mana negara atau sesiapa pun.

“Saya mengambil maklum mengenai permohonan maaf yang telah dikemukakan oleh pihak Khaf berhubung isu ini,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial, hari ini.