KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Myanmar ditahan dipercayai terbabit dalam kes bunuh rakan senegaranya di Taman Maluri Cheras di sini pada Rabu.Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, mangsa berusia awal 20-an disahkan meninggal dunia pada jam 10 pagi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) akibat kecederaan parah di bahagian perut."Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berjaya menahan suspek utama berusia 30-an di sebuah premis di sekitar Taman Maluri kira-kira jam 12 tengah hari," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Fadil berkata, polis turut merampas sebilah gunting yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kejadian tersebut."Semakan mendapati suspek tidak bekerja dan tidak mempunyai rekod lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan."Permohonan reman terhadap suspek akan dikemukakan pada hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut diteruskan, termasuk proses bedah siasat di Pusat Forensik HCTM," katanya.