SEREMBAN – Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Negeri Sembilan ditutup mulai esok susulan keadaan jerebu yang melanda negeri ini.

Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan kenyataan media KPM bertarikh hari ini selepas mengambil kira bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di tiga stesen pemantauan di negeri ini.

Tiga stesen berkenaan ialah Port Dickson, Seremban dan Nilai dengan bacaan IPU direkodkan setakat pukul 5 petang hari ini.

Menurut JPNS, pihaknya menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung keselamatan dan kesihatan murid susulan keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini.