Istanbul: Pertahanan Awam Arab Saudi pada Selasa mengumumkan bahawa keadaan bahaya di ibu negara Riyadh telah berakhir, beberapa minit selepas mengeluarkan amaran kecemasan tanpa memperincikan bentuk ancaman itu, lapor Anadolu Ajansi.
"Amaran telah dikeluarkan menerusi Platform Amaran Awal Kebangsaan di bandar Riyadh bagi memaklumkan mengenai kemungkinan berlaku bahaya," menurut pihak berkuasa itu dalam satu kenyataan.
Penduduk diarahkan supaya menuju ke tempat selamat yang terdekat dan kekal di dalam bangunan sehingga keadaan bahaya berakhir.
Beberapa minit kemudian, Pertahanan Awam mengumumkan keadaan di bandar itu kembali selamat serta menggesa penduduk supaya terus mematuhi arahan dan mengelakkan diri daripada berkumpul serta membuat rakaman.








