KUALA LUMPUR – Di sebalik kemusnahan kediaman dan pemindahan berulang di Palestin, jutaan penduduk terpaksa berdepan ketidaktentuan hidup apabila kehilangan bukan sahaja tempat berlindung, tetapi juga persekitaran dan hubungan sosial yang menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.
Pengarah Jabatan Perangkaan Perumahan dan Keadaan Perumahan Palestin, Suffiea Ibrahim berkata, kemusnahan kediaman yang berulang serta pemindahan penduduk secara besar-besaran di Palestin merupakan isu serius yang sering terlepas daripada perhatian ramai.
Bercakap secara langsung dari Palestin menerusi program “Palestine Beyond the Headlines” terbitan Bernama baru-baru ini, beliau berkata, kebanyakan daripada kira-kira 2.1 juta penduduk Semenanjung Gaza masih hilang tempat tinggal, dengan banyak keluarga berdepan ketidaktentuan untuk mendapatkan tempat perlindungan yang sesuai.









