NILAI – Ahli keluarga tidak menyangka adik bongsu yang dikenali sebagai seorang periang dan ceria pergi buat selama-lamanya dalam keadaan tragis, apatah lagi apabila mangsa tidak pernah menunjukkan masalah dihadapi.
Itulah kesedihan ditanggung, Amran Ibrahim, 59, apabila adik bongsunya itu, Allahyarham Norhazwani, 35, ditemui maut dipercayai dibunuh suami sendiri di sebuah unit kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.
Menurut Amran, Allahyarham yang mesra dipanggil Paney atau Moksu tidak pernah berkongsi secara terperinci masalah rumah tangga dihadapinya, walaupun keluarga difahamkan dia sedang melalui proses perceraian.
Katanya, berita kematian adik bongsu daripada sembilan beradik itu diterima kira-kira pukul 7.30 malam selepas seorang lagi adiknya memaklumkan perkara berkenaan.








