PETALING JAYA – Insiden cubaan mencuri kabel dikesan di antara Stesen Phileo dan Stesen Pusat Bandar Damansara, dalam kejadian pukul 5.30 pagi tadi.

Rapid KL dalam kenyataannya memaklumkan, susulan insiden pencerobohan kawasan landasan dan cubaan mencuri kabel, bekalan kuasa di kawasan terlibat telah diputuskan buat sementara waktu mengikut prosedur operasi dan keselamatan yang ditetapkan.

“Langkah ini diambil bagi membolehkan Pasukan Polis Bantuan menjalankan pemeriksaan dan operasi mengesan suspek dengan selamat, di samping memastikan keselamatan penumpang, petugas serta kawasan landasan dan kelancaran operasi perkhidmatan tren.

“Bekalan kuasa kemudian disambung semula pukul 6.32 pagi selepas tindakan yang diperlukan dilaksanakan,” menurut Rapid KL hari ini.