PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) disaran untuk mencuba ‘acuan’ baharu dengan mempertimbangkan jurulatih berprofil tinggi khususnya dari Sepanyoluntuk membimbing Harimau Malaya.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim percaya selepas mencuba sentuhan jurulatih dari Korea Selatan seperti Kim Pan-gon dan Australia, Peter Cklamovski, tidak salah untuk badan induk negara itu mencari ‘angin’ baharu.
Menurut Zulakbal, kegagalan untuk menarik minat jurulatih berkelas dunia dari Jepun, Hajime Moriyasu boleh membuka ruang buat FAM meneliti lebih banyak ‘resume’ terutama dari Eropah.
Kata Zulakbal, pendekatan itu mempunyai asas tersendiri selepas melihat resepi kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk berjaya di peringkat domestik dan antarabangsa apabila menggunakan tenaga pakar serta falsafah dari Eropah.









