KUALA LUMPUR: Pelakon Beto Kusyairy menganggap kejayaannya dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Nasional pada Asian Academy Creative Awards (AACA) menerusi siri Good Boys Go To Heaven sebagai satu amanah besar untuk membawa nama Malaysia ke pentas Asia.

Beto, 46, berkata, kemenangan itu juga membuka peluang kepadanya untuk mewakili negara dan bersaing dengan pelakon dari 10 negara Asia lain pada peringkat akhir anugerah berkenaan.

"Alhamdulillah, semestinya saya sangat berbesar hati dipilih mewakili Malaysia di AACA dan diletakkan sebaris dengan nama-nama besar Asia yang lain dalam kategori ini.

"Secara jujur, saya tidak pernah bekerja semata-mata untuk anugerah atau meletakkan sasaran tertentu. Namun, ini adalah satu penghargaan besar buat diri saya untuk membawa nama Malaysia ke pentas luar," katanya kepada BH Online.