Kota Bharu: Perikatan Nasional (PN) belum membuat keputusan sama ada akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu Isnin ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara berkenaan akan dibincangkan dalam masa terdekat, namun tumpuan ketika ini adalah kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini.

"PAS sentiasa bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapi pilihan raya. Soal sama ada kita akan bertanding atau tidak itu perkara kedua. Sekiranya kita memutuskan untuk bertanding, di mana-mana negeri pun calon itu sentiasa ada.

"Bagaimanapun, bagi konteks PRN Sarawak, kita masih belum membuat keputusan sama ada akan mengambil bahagian dalam pilihan raya negeri itu atau sebaliknya," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (HIMPAK) di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam tadi.