KUALA LUMPUR - Sikap segelintir orang Melayu yang mengejar keuntungan segera melalui jalan pintas dengan mengetepikan kejujuran dan amanah serta terlibat dalam rasuah antara kelemahan yang menghalang kemajuan ekonomi masyarakat itu.Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sikap berkenaan menyebabkan usaha memajukan ekonomi berdepan cabaran meskipun majoriti masyarakat Melayu di negeri SG4 merupakan umat Islam."Perkara inilah yang sememangnya menjadi kelemahan utama orang Melayu Islam di negara ini. Tumpuan juga sentiasa terarah kepada negeri-negeri SG4 kerana majoriti penduduk yang tinggal di sana ialah orang Melayu Islam."Kesimpulannya, SG4 hanya dapat merealisasikan potensi sebenar jika pemimpin dan rakyatnya bersetuju bahawa ALLAH SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri berusaha mengubahnya," katanya dalam Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 2026 di sini pada Isnin.Teks ucapan beliau dibacakan oleh Tan Sri Mokhzani Mahathir, mewakili negarawan berusia 101 tahun itu yang tidak dapat hadir atas fakto kesihatan.Dalam pada itu, Dr Mahathir menegaskan, keadaan itu menjadi antara kelemahan utama masyarakat Melayu Islam di negara ini.Malah menurutnya, orang Melayu sebenarnya berpotensi menjadi peniaga dan ahli perniagaan yang baik sekiranya prinsip Islam diamalkan sepenuhnya dalam urusan perniagaan."Islam sentiasa mengingatkan umatnya tentang berat hukuman terhadap mereka yang menipu dan mencuri, manakala kejujuran memberikan ganjaran pahala yang sangat tinggi."Dengan kata lain, jika orang Melayu mematuhi prinsip-prinsip Islam, mereka akan menjadi golongan yang amat dipercayai dan mendapat permintaan tinggi dalam bidang perniagaan serta perdagangan," ujarnya.Dr Mahathir berkata, empat negeri di bawah SG4 iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis perlu memberikan komitmen penuh bagi mengejar, malah mengatasi pembangunan ekonomi negeri-negeri Pantai Barat.Beliau berpandangan, negeri-negeri berkenaan telah ketinggalan selama beberapa dekad dan memerlukan komitmen 100 peratus untuk mencapai kemajuan yang diharapkan."Pada asasnya, kita boleh merumuskan bahawa SG4 mempunyai keluasan wilayah, tanah, penduduk dan infrastruktur untuk membangunkan kawasan mereka menjadi zon ekonomi dan perniagaan yang produktif serta menguntungkan."Apa yang diperlukan ialah pengetahuan dan kepakaran. Dari situ, mereka perlu memanfaatkan kepakaran yang ada dan akhirnya memastikan pembangunan yang dilaksanakan bersifat mampan," jelasnya.