MANCHESTER: Masa depan Michael Carrick sebagai pengurus Manchester United semakin menjadi tanda tanya apabila barisan pengurusan tertinggi kelab itu mengadakan perbincangan susulan kekalahan memalukan 0-3 kepada Bournemouth dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Ahad lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif United, Omar Berrada dan Pengarah Bola Sepak, Jason Wilcox dilaporkan berada di pusat latihan Carrington semalam, dengan kedua-duanya dipercayai menyertai perbincangan menerusi panggilan video bersama pemilik minoriti, Sir Jim Ratcliffe serta pengerusi bersama, Joel dan Avram Glazer.

Bagaimanapun, belum ada kepastian sama ada keputusan muktamad sudah dibuat berhubung kedudukan Carrick, termasuk sama ada bekas pemain tengah United itu akan mengendalikan sesi latihan menjelang aksi menentang Chelsea di Stamford Bridge, Sabtu ini.