KETIKA menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) di Parlimen, baru-baru ini, yang meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan untuk memperketat prosedur kewangan, terutama kelulusan pelaburan berskala besar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan kerajaan sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Entiti Milik Kerajaan.

Ia bertujuan memperketat kawal selia, tatakelola dan pengurusan kewangan badan serta agensi kerajaan dengan sasaran ia dibentangkan serta diluluskan di Dewan Rakyat tahun ini.

Anwar berkata, undang-undang itu penting bagi memastikan badan dan agensi kerajaan, termasuk entiti berkaitan Bumiputera, tertakluk kepada peraturan lebih ketat bagi mengelakkan ketidakaturan mengakibatkan kerugian berbilion ringgit.