MEMULAKAN kerjaya sebagai pengaturcara (programmer) yang aktif membangunkan platform e-dagang telah menjadi titik tolak kepada Zuria Abdullah menceburkan diri dalam dunia keusahawanan dan membimbing usahawan tempatan menembusi pasaran global.
Daripada penglibatannya dalam pembangunan sistem dan analisis pangkalan data, Zuria, 45, mula melihat potensi besar sektor logistik sebagai komponen penting dalam ekosistem e-dagang yang menyokong perdagangan rentas sempadan sekali gus mendorongnya menceburi bidang perniagaan logistik antarabangsa.
Kini, selepas 15 tahun berkecimpung dalam industri tersebut, Zuria bukan sahaja menyediakan penyelesaian logistik import dan eksport, malah aktif membimbing usahawan dalam pasaran global, khususnya dengan negara China.









