KAHERAH – Sekurang-kurangnya 10 orang maut manakala 24 lagi cedera selepas sebuah bas yang membawa pekerja bertembung dengan sebuah kenderaan berat di lebuh raya utama wilayah Giza, Mesir lapor saluran berita Gulf News.
Menurut pihak Kementerian Kesihatan dan Penduduk Mesir, 10 daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal dan tidak stabil, manakala 14 lagi mengalami kecederaan ringan serta sederhana.
Susulan laporan mengenai nahas di Lebuh Raya Lingkaran Tengah itu, pasukan polis dan ambulans bergegas ke lokasi bagi operasi menyelamat.
Mangsa yang cedera segera dikejarkan ke beberapa hospital berdekatan untuk menerima rawatan kecemasan, manakala urusan dokumentasi mangsa terkorban diserahkan kepada pihak berkuasa.









