Beijing: Syarikat teknologi China, Baidu melancarkan sistem kecerdasan buatan (AI) baharu dikenali sebagai Apollo World bagi melatih teksi robotik menggunakan simulasi persekitaran dunia sebenar.

Sistem yang dilancarkan pada 3 November itu direka untuk mensimulasikan persekitaran pemanduan serta meramalkan perubahan yang berlaku bagi membantu pengeluar kenderaan mengurangkan kos pembangunan kenderaan autonomi.

Baidu berkata, Apollo World mampu menjana sehingga 100,000 kilometer (km) pemanduan simulasi sehari, bersamaan kira-kira tiga tahun ujian dunia sebenar menggunakan kenderaan autonomi yang dilengkapi pemandu keselamatan.

Difahamkan, sistem itu turut berupaya menghasilkan data multimodal masa nyata seperti pemerhatian kamera dan pengesanan serta pemetaan cahaya (lidar), membolehkan sistem pemanduan kendiri mengesan dan menavigasi persekitaran simulasi secara langsung.