BANGKOK: Banjir di seluruh Thailand meragut 31 nyawa dan menjejaskan kira-kira 4.14 juta orang sejak 16 September, menurut pihak berkuasa pada Isnin, lapor Xinhua.

Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana, berkata hampir 3.52 juta penduduk di 26 wilayah dan ibu negara masih terjejas akibat banjir.

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, mengarahkan agensi berkaitan mempercepatkan usaha mengalirkan keluar air, bantuan serta pemulihan pascabanjir ketika negara Asia Tenggara itu bersiap sedia menghadapi satu lagi gelombang hujan dan air pasang besar.

Mempengerusikan mesyuarat Ibu Pejabat Markas Bencana Kebangsaan, semalam, Anutin berkata, keadaan keseluruhan semakin baik, dengan paras air di kawasan hulu mula stabil dan menurun.