Kajang: Lelaki ditahan polis selepas tindakannya mencuri dompet dari sebuah kereta yang diletakkan di kawasan rumah di Taman Rakan, Cheras, semalam dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian itu disedari mangsa berusia 28 tahun pada 8 pagi selepas mendapati dompet yang ditinggalkan di dalam keretanya hilang.
Beliau berkata, hasil semakan rakaman CCTV mendapati seorang lelaki tidak dikenali memasuki kawasan rumah mangsa sebelum mengambil dompet yang mengandungi kad pengenalan serta kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan debit milik mangsa.
Rakaman itu menunjukkan seorang lelaki berpakaian gelap mundar-mandir di kawasan anjung rumah berkenaan yang turut menempatkan beberapa motosikal dan sebuah kereta.









