Kuala Lumpur: Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar melakar sejarah apabila menjadi graduan pertama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang memperoleh Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) menerusi laluan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu bagi Tujuan Penganugerahan Kelayakan (APEL.Q).
UTM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Shamsul Azri menerima ijazah berkenaan pada Majlis Konvokesyen UTM Ke-70 selepas menamatkan pengajian di Azman Hashim International Business School (AHIBS) di Johor Bahru, Johor.
"Laluan APEL.Q membolehkan calon menunjukkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang kerjaya melalui proses penilaian yang setara dengan piawaian kelayakan akademik yang dimohon," menurut kenyataan itu.










