GEORGETOWN: Jalan bersejarah di bandar raya ini, Lebuh Pantai, disenaraikan di tangga kesembilan dalam senarai 28 Jalan Paling 'Cool' di Dunia 2026 oleh majalah terkemuka, Time Out.

Jenama media dan hospitaliti global itu menyiarkan senarai tahunan berkenaan semalam bagi mengiktiraf jalan utama paling menonjolkan kemeriahan kehidupan kota, kepelbagaian kulinari, budaya serta semangat komuniti.

Lebuh Pantai yang lebih dikenali sebagai Beach Street muncul sebagai satu-satunya lokasi dari negara ini yang berjaya menembusi senarai berprestij peringkat antarabangsa itu.

Dibina antara 1786 hingga 1787 tidak lama selepas Kapten Francis Light tiba di Pulau Pinang, Lebuh Pantai antara jalan tertua dan paling bersejarah di negeri ini.