RANTAU PANJANG: Sambungan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Rantau Panjang berpotensi menghidupkan semula ekonomi sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini yang semakin tenat, sekali gus menjadi ‘talian hayat’ baharu buat seluruh penduduk di kawasan itu.
Anak jati Rantau Panjang, Mohd. Ridzuan Muhammad, 46, menaruh harapan tinggi agar stesen berkenaan ditempatkan secara strategik di dalam kawasan zon perdagangan bebas tersebut.
Katanya, stesen itu boleh dibina dalam kawasan sedia ada yang diwartakan semula atau menerusi pembangunan zon baharu yang bersepadu bagi memastikan kemudahan berkenaan benar-benar menyokong kegiatan ekonomi setempat.
“Adalah sangat penting agar landasan dan stesen ini masuk dan berhenti terus di nadi zon perdagangan bebas dahulu, bukannya dilencongkan atau dibina di luar kawasan komersial tersebut.









