GUA MUSANG: Sebuah kereta jenis Perodua Myvi merah yang terbabas dan masuk ke laluan bertentangan dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 52, Jalan Gua Musang–Kuala Krai, di sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu menyebabkan dua beranak yang menaiki sebuah lagi kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian kereta yang MyVi merah dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang itu dipercayai terbabas sebaik tiba di lokasi kejadian.

Katanya, kereta tersebut kemudian melanggar bahagian sisi belakang kanan sebuah lagi Perodua Myvi berwarna oren dari arah bertentangan.