PETALING JAYA: Iconic Worldwide Berhad (Iconic Worldwide) menyasarkan peningkatan hasil hampir dua kali ganda kepada RM150 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027, terutamanya didorong oleh permintaan pasaran yang kukuh terhadap Iconic Harmony serta disokong oleh segmen pembuatan dan hospitalitinya.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Tan Kean Tet berkata, sasaran tersebut berikutan prestasi kukuh pada tahun kewangan 2026, yang menyaksikan kumpulan mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam tempoh lebih sedekad.

“Ini akan meletakkan kami pada kedudukan untuk mencatatkan prestasi keuntungan bersih yang lebih kukuh.

“Kami yakin sasaran RM150 juta ini boleh dicapai kerana perniagaan hartanah kami sahaja dijangka menyumbang hasil sehingga RM120 juta, didorong oleh jualan Iconic Harmony iaitu pembangunan bercampur bertingkat tinggi di Bukit Mertajam, Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan.