Kuala Lumpur: Amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di beberapa negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Sarawak sehingga jam 9 pagi ini.
Menurut portal Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), antara kawasan terjejas di Selangor ialah di Sepang, Kuala Langat, Klang, Petaling, Kuala Selangor dan Sabak Bernam, manakala di Negeri Sembilan di daerah Port Dickson dan Seremban.
Di Sarawak pula, kawasan terjejas ialah Betong, Sri Aman, Samarahan, Serian dan Kuching.
Berdasarkan perkongsian warganet di laman sosial, beberapa lokasi kini berdepan dengan keadaan banjir susulan hujan lebat pagi ini.









