JOHOR BAHRU: Seorang pelajar kolej swasta yang terlibat sindiket along di penjara 12 bulan dan denda RM13,800 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas perbuatan khianat dan ugutan terhadap mangsa sindiket tersebut.
Tertuduh, Muhammad Taufiq Jamal Ab Nasir, 24, mengaku bersalah selepas enam pertuduhan dibacakan terhadapnya di mahkamah berasingan.
Di hadapan Majistret Nurzihan Abd. Rehman, tertuduh dipenjara satu tahun daripada tarikh tangkap selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan untuk menakutkan seorang lelaki menggunakan komunikasi tanpa nama yang ditulis pada sekeping nota di Jalan Limau Manis, Kampung Pasir, di sini kira-kira 12.45 pagi pada 5 Oktober lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 507 kanun keseksaan, dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.








