KUALA LUMPUR: Berbekalkan pengalaman hampir empat dekad dalam bidang pergigian, Dr. Kamsiah Haider terus mengembangkan perniagaannya dengan menggabungkan kepakaran klinikal dan teknologi digital menerusi pembukaan klinik baharu di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur.
Pada usia 63 tahun, beliau masih aktif mengendalikan kes pergigian kompleks, manakala anaknya, Elyas Izzat, mengambil tanggungjawab menguruskan perniagaan keluarga itu dengan memberi tumpuan kepada pemasaran digital serta peluasan operasi.
“Selepas hampir 40 tahun dalam bidang pergigian, saya sebenarnya boleh sahaja memperlahankan rentak kerja, namun entah mengapa, itu bukan diri saya yang sebenar,” kata Kamsiah ketika ditemui sempena pembukaan klinik baharunya pada Sabtu.









